“Kak Ros ambil Ija sejam lagi, boleh?” Rosmah memberhentikan keretanya di hadapan rumah Fiqri. Khalijah di papah turun, Amir turut di pimpin.
“Kak Ros tak mau ikut kami?” Khalijah mempelawa.
“Tak apalah. Kak Ros tak mau jadi tiang lampu,” Rosmah cuba berjenaka, ingin menyenangkan hati Khalijah yang kelihatan sugul sejak semalam.
Khalijah hanya tersenyum tawar. Terhincut-hincut dia melangkah; sebelah tangannya memapah tongkat. Sebelah lagi di genggamnya erat jemari Amir. Cuba mencari sedikit kekuatan.
“Assalamualaikum,” sapa Khalijah. Sejurus kemudian, terlihat ada yang menjenguk di balik tingkap. ‘Fiqri,’ hati Khalijah berdetik.
“Papa!” Amir pula tiba-tiba berteriak sambil melambai-lambai. Dia tertawa, gembira sungguh nampaknya.
Khalijah menunggu sebentar. Pintu tiba-tiba di buka kasar. Wajah Puan Sarah masam mencuka; menyambut mereka di muka pintu.
“Ma, apa khabar? Amir, salam nenek.” Khalijah menghulurkan salam ke arah ibu mertuanya. Di sambut dingin. Dia melangkah masuk. Terlihat Fiqri merenung tajam ke arahnya. Khalijah cuba tersenyum, menutup keresahan hatinya.
Amir berlari pantas menuju ke arah Fiqri. “Papa! Kenapa lama tak jenguk Amir? Papa sakit ya? Umi pun sakit juga..” soal Amir sambil cuba melabuhkan punggung di paha Fiqri namun sempat di tegur Khalijah.
“Amir..” Khalijah menegur perlahan. Matanya asyik merenung Fiqri yang hanya berdiam diri sejak dari tadi. Seperti tidak mengenali mereka berdua.
“Abang…” Khalijah menghulurkan pula salam ke arah Fiqri. Fiqri mendongak seketika, seakan cuba-cuba mencari sesuatu di wajah Khalijah. Namun, seketika kemudian di sambut tangan Khalijah. Tapi, cepat-cepat di tarik semula bila Khalijah ingin menciumi tangannya.
“Jangan!” Fiqri tiba-tiba bersuara. Dia seperti orang bingung. Matanya melingas; memandang ke arah Amir dan juga Khalijah bergilir-gilir. Khalijah juga terkejut dengan tindakan Fiqri. Dia menoleh ke arah Puan Sarah; cuba mencari kepastian. Makcik Sarah hanya mendengus keras.
“Mak Imah! Mak Imah!” Tiba-tiba Puan Sarah berteriak lantang. Terlihat seorang wanita tergesa-gesa menuju ke arah mereka. Dia terpandang Khalijah; cuba tersenyum kecil. Tapi sebentar sahaja. Bimbang di marahi majikannya nanti.
“Bawa Fiqri ke biliknya. Aku ada tetamu,” Puan Sarah mengarah keras. Khalijah hanya diam memerhati Fiqri pergi. Tak terhurai rasanya rindu yang sarat di dada terhadap Fiqri. Namun, dia harus akur. Keadaan tidak lagi seperti dulu.
“Kenapa kau ke mari?” Puan Sarah tiba-tiba menegur. Mencantas lamunan Khalijah sebentar tadi.
“Err..Ijah nak jumpa Abang Fiq,” Khalijah menjawab perlahan.
“Tak cukup apa yang kau dah buat selama ni terhadap Fiq? Terhadap kami? Tak cukup kamu dah menipu kami selama ni?” bentak Puan Sarah pula.
“Tapi..Ijah..Ijah tak tipu Abang Fiq. Ijah tak tipu mama!” jawab Khalijah lagi. Cuba mempertahankan dirinya.
“Tak tipu kau kata? Kau sembunyikan asal usul kau! Kau rahsiakan status diri kau. Kau ni anak haram kan?!” Suara Puan Sarah makin meninggi. Amir yang terkejut dengan tingkah neneknya itu, lari memeluk Khalijah erat.
“Ma! Jangan cakap macam tu depan Amir, mak,” rayu Khalijah.
“Kenapa, kau takut anak kau tahu yang kau tu anak haram. Begitu?” Puan Sarah melemparkan senyuman sinis ke arah mereka berdua.
“Amir ni kan cucu mak. Janganlah mak buat dia begini pula. Ya, mungkin Ijah ni anak haram. Anak luar nikah. Tapi bukan Ijah yang minta di lahirkan begitu kan? Lagipun, Ijah tak pernah nak rahsiakan status diri Ijah. Tapi, Abang Fiqri yang kata semua tu tak penting. Yang penting, kasih sayang kami mak,” Khalijah menerangkan keadaan yang sebenar dengan panjang lebar.
“Kau jangan nak berdrama pula. Jangan nak babitkan Fiq pula dalam hal ni. Sekarang ni, diri kau dan anak kau ni pun dia tak kenal. Kau nak aku pisahkan kamu berdua dengan dia buat selama-lamanya?” Puan Sarah seakan-akan mengunggut Khalijah ketika itu.
“Apa, Abang Fiq tak kenal kami?” Saat itu, Khalijah merasakan seolah-olah segala impiannya untuk kembali pada Fiqri hanya tinggal impian.
“Ya, dia tak kenal kamu. Malah, dia tak ingat pun yang dia sudah berkahwin dan punyai seorang anak,” Senyuman sinis itu masih tidak lekang lagi dari bibir Puan Sarah.
“Mak, janganlah pisahkan Ijah dari Abang Fiq. Ijah tak boleh hidup tanpa Abang Fiq. Amir juga perlukan seorang ayah, mak.” Sambil itu, tangannya mengusap rambut Amir, cuba menenangkan perasaan anaknya yang mungkin dalam kebingungan menyaksikan pertengkaran mereka.
“Baiklah. Aku boleh buat begitu. Tapi, kau terpaksa tinggalkan Amir dengan kami. Manalah tau, mungkin dengan kehadiran Amir boleh buat ingatan Fiq pulih semula. Lagipun, itu satu-satu cara yang ada itu kamu terus berhubungan dengan Fiq di sini. Kalau tak, jangan haraplah!”
“Tapi mak…” Khalijah tidak jadi bersuara bila melihat mata Puan Sarah yang menjegil ke arah mereka. Khalijah kembali memandang ke arah anaknya.
“Mir, Amir nak duduk sini dengan ayah, dengan nenek tak?” Khalijah mengusap lembut kepala Amir yang bersandar di bahunya.
“Nak,” Amir menjawab pantas. “Umi pun ikut sama kan?” Tangan Khalijah di raih lembut ke pipinya. Khalijah menahan sebak di dadanya, melihat reaksi anaknya itu.
“Tak, Umi kena balik. Tapi nanti, Umi selalu datang sini. Jenguk Amir, jenguk papa, jenguk nenek dengan atok. Ya?” Terdengar Puan Sarah merengus kasar. Mungkin jelik mendengar kata-kata Khalijah tadi.
“Umi mesti datang selalu tau. Nanti Amir rindu kat Umi, macamana?” Suara Amir kedengaran lirih.
“Yalah, Umi datang selalu. Sekarang, Umi balik dulu ya,” Huluran tangan Khalijah di sambut Amir. Kedua-dua pipi Amir di kucup lembut.
“Ijah balik dulu, Ma.” Sekali lagi, huluran tangan Khalijah di sambut dingin. Puan Sarah mengiringinya hingga ke pintu. “Wang sebanyak mana yang boleh buat kau tinggalkan Fiqri, Ijah?! ” soal Puan Sarah tiba-tiba.
Langkah Khalijah terhenti. Tanpa menoleh, dia menjawab,”Tiada apa yang dapat pisahkan kami berdua. Hanya lafaz cerai atau maut sahaja. Ijah pergi dulu, assalamualaikum.” Langkah Khalijah di atur laju walaupun masih terhincut-hincut.
Fiqri terdengar seperti orang bertengkar di bawah tadi. Tapi, hanya sebentar. Sejurus kemudian, terdengar pula deruman kereta berlalu pergi.
“Ma, ma!” Fiqri memanggil ibunya.
“Fiq..” terdengar suara ibunya menyapa lembut.
“Mereka dah pulang ke?” Dia menoleh. Terlihat seorang budak lelaki tersenyum ke arahnya. “Papa!” sapa Amir. Tapi dia hanya berdiri kaku di samping Puan Sarah. Mungkin bimbang jika sapaannya tidak bersahut seperti sebentar tadi.
“Papa?” Fiqri memandang wajah Puan Sarah.
“Fiq, ni Amir Hamzah. Err..anak angkat kamu. Yang kamu bela sebelum kemalangan dulu,” Amir mendongak, memandang neneknya. Bingung.
“Anak angkat, Fiq ambil dulu?” Puan Sarah mengangguk-anggukkan kepalanya. “Perempuan tadi tu, yang datang dengan Amir. Siapa, ma?” soal Fiqri lagi.
“Hmm..dia yang menjaga Amir sewaktu Fiq kemalangan. Mama dengan ayah tak sempat nak jaga dia. Kami sibuk berulang alik dari hospital menjenguk kamu,” tambah Puan Sarah lagi.
“Tapi, Fiq..Fiq macam pernah nampaklah perempuan tu. Di mana agaknya ya?” Fiqri bersuara perlahan, seolah-olah soalan itu di lemparkan pada dirinya sendiri.
“Sudahlah Fiq. Jangan di ingat-ingatkan sangat. Fiq kena banyak berehat. Amir, mari ikut nenek. Biar papa berehat dulu.”
Fiqri hanya melihat mereka berdua melangkah pergi. Dia semakin bingung dengan keadaan dirinya ketika itu. Satu persatu perkara baru singgah di benaknya. ‘Papa? Dia panggil aku papa? Aku ada anak angkat? Ibu Amir tu pula macam aku pernah lihat. Tapi, di mana? Dan kenapa pula dia panggil aku abang? Ahh! Kenapa aku tak boleh ingat apa-apa? Kenapa aku tak boleh ingat siapa mereka? Kenapa?!!’ Fiqri mengetuk-getuk kepalanya; dia seakan marah pada dirinya sendiri. Marah dengan keadaan dirinya yang sebegitu.
“Kenapa Ijah ikutkan saja cadangan ibu mertua Ijah tu?” soal Rosmah sebaik sahaja mereka pulang dari melawat Fiqri.
“Apa pilihan yang Ijah ada, Kak Ros. Ijah tak mahu kehilangan Abang Fiqri. Sekurang-kurangnya, Amir dekat dengan papa nya,” Khalijah melemparkan senyuman ke arah Rosmah. Cuba menutup keresahan hatinya.
“Tapi kan, Kak Ros..” Khalijah memaut bahu Rosmah lembut. “Ijah rindu kat mereka. Kat Abang Fiq. Kat Amir. Rindu sangat,” akhirnya Khalijah meluah rasa resahnya diiringi esak tangis.
“Sabarlah Ijah. Sabar,” Rosmah mengusap lembut bahu Khalijah. Dia cukup mengerti apa yang sedang di lalui sahabatnya itu.